Tuesday 17 April 2012

Ingat Mati Ukur Persediaan Bekalan Hidup Di Akhirat

 
RASULULLAH berpesan orang paling cerdik ialah yang sering mengingati kematiannya.

Perbanyak amal untuk mudah hadapi maut, pastikan kehidupan lebih baik selepas itu

KEMATIAN adalah hal yang pasti dan semua manusia akan melaluinya apabila tiba masa. Mungkin kita pernah mengiringi jenazah ahli keluarga, sanak saudara atau rakan dan sudah tentu suasana hiba menyelubungi setiap insan yang menghantar jenazah ke tanah perkuburan.

Mereka yang mati berdepan dengan alam barzakh dan bagi yang hidup, tidak terlintas di sanubari untuk menginsafi diri suatu ketika nanti beginilah keadaan nyawa berpisah daripada jasad.

Sepatutnya saat menziarah jenazah dan mengiringi ke perkuburan membuka ruang keinsafan yang menjurus kepada bermuhasabah demi membetulkan segala dosa silam yang pernah kita lakukan.

Itulah saat paling murni untuk membayangkan apakah persediaan kita menanti saat itu tiba.

Alangkah indahnya jika kematian itu membuahkan keinsafan hakiki lalu menjernihkan lubuk hati setiap pengiring jenazah bahawa inilah hari hamba Allah tadi dan tidak tahu bila pula waktu yang dijanjikan untuk kita.

Saat itu sepatutnya meluaskan pandangan kita terhadap kehidupan yang dilalui apakah ia turut diperlengkapkan dengan perkara wajib dilaksanakan bagi memastikan perjumpaan dengan Allah yang menjadikan atau kehidupan dilalui sebelum ini tidak ada satu pun yang menjanjikan kebaikan untuk akhirat kerana jika itu keadaannya, tibalah masa memperbaiki kelemahan diri seterusnya merencana agenda serta tindakan supaya kita tidak datang ke alam satu lagi dengan tangan kosong.

Justeru, tanpa mengabaikan keperluan hidup di dunia ini, penekanan perlu diberikan kepada matlamat akhir iaitu mencapai kejayaan dan kebahagiaan di akhirat serta termasuk dalam golongan yang akan berbahagia dengan bekalan amalan dibawa.

Pintu taubat sentiasa terbuka dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Ambil tindakan awal dan mulakan dari sekarang untuk menghasilkan bekalan bagi kehidupan yang sejahtera di akhirat nanti.

Buangkan jauh hasutan yang melalaikan. Jangan fikir hanya kerana diri masih muda, tenaga masih kuat dan wajah belum berkedut, kita masih boleh melambatkan usaha menyediakan bekalan untuk akhirat.

Lihat di sekeliling kerana kita tidak perlu membuat statistik atau perangkaan umur kematian kerana setiap peringkat umur berdepan kematian, baik bayi dalam rahim yang baru dilahirkan, masih belum umur setahun, sudah remaja, dewasa serta yang semakin tua.

Semua tidak dapat lari kerana apabila tiba masanya, tiada siapa boleh menahan, melambatkan atau mempercepatkan. Itu sudah dijelaskan dan difahamkan, malah semua umat Islam yang beriman kepada Allah mengakui hakikatnya.

Oleh itu, beruntung mereka yang sentiasa mengingati kematian dan memastikan setiap saat kehidupan di bumi ini dilalui bagi memenuhi keperluan hidup di dunia dan akhirat.

Keseimbangan memainkan peranan penting tetapi tidak dinafikan agak sukar untuk menyeimbangkan diri memenuhi tanggungjawab di dunia apa lagi akhirat yang menjadi hentian abadi makhluk yang diciptakan Allah ini.

Kata Imam al-Ghazali: "Mengingati kematian itu menghasilkan kemanisan iman sekali gus menguatkan rasa bertuhan dan dekat kepada Allah."

Kelebihan mengingati mati juga akan melembutkan hati serta jiwa yang keras. Percayalah hati kita menjadi lembut apabila sentiasa ingat Allah dan mati.

Dikisahkan, ibu saudara Nabi SAW dan ibu kepada Saidina Zubair Ibnu 'Awwam iaitu Sayyidah Safiyyah binti Abdul Mutalib menceritakan: "Seorang perempuan bertemu Aisyah mengadu mengenai hatinya yang keras dan kusut. Aisyah berkata: Banyakkan mengingati mati, nanti akan lembut dan tenanglah hatimu itu.

"Perempuan itu mengamalkan pesanan Aisyah. Hasilnya, hati perempuan itu tenang dan kembali lembut. Kemudian dia berkunjung semula menemui Aisyah untuk mengucapkan terima kasih."

Demikianlah ceritanya bagaimana hati seseorang yang keras dan tidak tenang dapat dilembutkan dengan mengingati mati. Oleh itu, apabila menghadapi masalah yang menyusahkan hati, ingatlah mati semoga hati menjadi lembut dan bersedia meneruskan kehidupan mencari keredaan Allah.

Jangan jadikan kematian sesuatu yang menakutkan atau menggugat ketenangan jiwa sebaliknya, jadikan mati sebagai janji Allah dan kesenangan untuk mereka yang sentiasa melakukan persediaan menghadapi saat itu.

Jangan tanya bagaimana hendak menghadapi kematian sebaliknya sentiasa memperbanyakkan amalan yang akan memudahkan kita menghadapi saat itu selain memastikan satu kehidupan lebih baik selepas itu.

Sentiasalah mengingati mati dan melakukan persediaan menghadapinya kerana Rasulullah SAW menyatakan orang paling cerdik adalah yang paling banyak mengingati mati.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...